Sunday, 19 January 2014

Engkau Aku Si Ibu

Aku menumpang berehat di sebuah surau sementara menunggu kehadiran seorang teman ketika aku dikejutkan dengan sebuah insiden yang menyentak hati.

Aku didatangi dua orang anak kecil, terhibur aku melihat keletah mereka. Walaupun keadaan surau itu yang kecil dan penuh dengan ramai orang, anak kecil itu masih mampu berlari riang. Penantian yang panjang kurasa sebentar tadi hilang begitu sahaja.

Tidak jauh dari dudukku terdapat seorang wanita yang kelihatan tidak senang dengan kelakuan dua anak kecil itu. Ketika anak kecil itu berlari di hadapan wanita itu, direntapnya tangan mereka. Aku menoleh deras, risau disakiti dua anak kecil itu.

‘Berapa kali aku nak cakap? Tak faham-faham bahasa ke. Aku kata duduk, duduklah!’, kata wanita itu sambil dipiatnya tangan anak-anak kecil itu.

Hatiku membentak. Tidak senang anak-anak kecil itu diperlakukan sebagitu.

‘Sakit! Sakit! Sakitlah!’, teriak anak kecil itu sambil menendang wanita tersebut.

Aku menoleh, tidak mampu melihat. Sejurus itu juga aku terdengar bunyi tamparan disusuli tangisan deras daripada anak-anak kecil itu.

‘Tak reti nak diam ke? Cubalah selawat ke zikir ke? Memekak je. Duduk! Cepat zikir! Bising lagi aku pukul’, gertak wanita itu.

Kemudian anak kecil itu melabuhkan duduknya di sebelahku. Ketika dia sedang bermain-main dengan benang di lantai aku terlihat kesan parut di tangan kanannya. Menyedari aku memerhatikan tangannya, segera disembunyikan tangannya itu.

Aku berasa serba salah. Segera aku menyelongkar ke dalam beg mencari sebiji gula-gula yang diberikan lecturer kepadaku di dalam kelas akaun petang tadi.

‘Adik, nak gula-gula?’, tanyaku.

Anak kecil itu memandangku dan beralih kepada gula-gula di tanganku. Walaupun teragak-agak, dia tetap mengangguk kecil. Aku tersenyum, gembira pemberianku diterima. Seketika kemudian, aku mencuba bermanja dengan anak-anak kecil itu.

Seperti tiada apa yang berlaku sebentar tadi, mereka dengan mudah menjadi kembali riang dan mula berlari-lari semula di sekeliling surau.





***


Siapa tahu ada jugak rupanya orang macam ni kat dunia ni. Tahu tu memanglah tahu, tapi tak sangka pulak boleh jumpa depan mata. Rasa macam nak ‘pang’ ‘pang’ je perempuan tuh.

Memanglah aku takde anak lagi tak tahu apa yang dia rasa. Tapi kalaulah bagus perempuan tu biar takde anak langsung, ada anak pun layan macam tuh nak buat apa. Aku dengan kucing aku pun tak pernah nak piat-piat. Zaman sekarang ni, haiwan pon kita layan lagi baik dari manusia. Pelik.

Mula-mula tu aku ingat, ‘bapaklah orang gaji ni selamba je nak pukul-pukul anak orang. Kurang ajar betul’. Lepastu, ‘ni mesti mak tiri ni. Confirm!’.

Dari awal sampai habis drama tu aku tak boleh nak mind set kepala aku ni yang perempuan tu sebenarnya ibu dia. Tak boleh terima. Eh, memang tak masuk akal lah. Mana ada ibu yang guna ‘kau’ ‘aku’ dengan anak dia. Anak dia yang aku rasa tak masuk tadika pon lagi.

Lepastu boleh pulak dah pukul-pukul tu dia suruh anak dia selawat, zikir. Ya allah. Kau tu yang patutnya zikir istighfar banyak-banyak. Diorang tu budak kecik lagi. Takde dosa sebesar zarah pon. Mati pon masuk syurga.

AAAARGGHH.

Tensionnye jumpa orang macam ni. Nak kata tak faham agama, ya allah berjubah berniqab. Aku yang lebih malu dari dia dalam surau tadi. Rasa macam nak tengking je, ‘apa kejadahnya la kau ni’. Dekat luar depan orang ramai pon dah berani pukul anak, kalau dekat rumah macam mana lah.

Waktu diorang dah nak balik tu, macam-macam aku bayang. Biasalah kalau kita tengok drama-drama melayu kan. Aku just doa yang kisah budak-budak tu tak se’cliché macam cerita dalam drama. Mungkin hari ni je mak dia tu buat perangai, ada masalah ke apa.

Hah dunia. . .





#kisahmalammerdeka2013